Tidak perlu sekat pemilihan parti – Muhammad Suffian

0
1

NAIB Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Muhammad Suffian Maradzi, berpandangan Umno tidak lagi seharusnya memperjuangkan agenda menyekat jawatan tertentu daripada dipertandingkan.

“Berkenaan pemilihan parti, saya harap kita buka terus…jangan lagi ada agenda tidak mahu mempertandingkan jawatan-jawatan tertentu.

“Ini pandangan saya, tidak ada orang telefon ke apa (suruh menyatakan sedemikian).

“Ini pandangan saya sebab demokrasi dalam Islam pun diajar bagaimana kita nak meraikan demokrasi ini, supaya kita di peringkat Pemuda tidak dimomokkan lagi sama seperti dahulu ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden, timbalan presiden,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika membahas Ucapan Dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Suffian, berkata pimpinan parti perlu lebih giat membuat penjelasan mengenai penyertaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP.

Jelasnya, ahli akar umbi terutama di kawasan luar bandar masih sukar untuk bersahabat dengan DAP.

“Bahkan kami nak jelaskan perjuangan kita dalam kerajaan bersama DAP, kita tak tahu bagaimana nak jelaskan sebab orang di kampung mungkin masih susah berkawan dengan DAP.

“Saya pun tak tahu bagaimana, sebab kita daripada dahulu sudah dimomokkan dengan perjuangan DAP…apakah agenda perjuangan DAP dan PKR.

“Kita tahu dari awal lagi kita memburukkan mereka dan kini kita bersama mereka dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, wakil Siswa Umno, Siti Jamila Syuhada Jailani, menggesa semua supaya berhenti menuding jari menyalahkan mana-mana pihak susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Belia Komanwel itu menjelaskan, biarpun pelbagai perkara ditawarkan menerusi manifesto, ia masih tidak mencukupi di mata rakyat.

“Kita tewas bukan kerana apa yang boleh kita beri, kita kalah kerana tidak melaksanakannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here