BEKAS anggota tentera yang ditamatkan perkhidmatan selepas enggan menerima vaksinasi Covid-19, akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini yang menolak permohonannya bagi mencabar keputusan penamatan khidmatnya.
Wan Ramli Wan Seman, berkata beliau bagaimanapun akan menerima apa sahaja keputusan yang bakal diterimanya kelak.
“Round (pusingan) 1 saya kalah. Masih ada round 2 & 3. Insya-Allah. Kun fayakun. Menang atau kalah atas izin-Nya. Kita cuma perlu berserah kepada-Nya 100 peratus.
“Kekalahan saya hari ini membuatkan tentera kita tiada pilihan untuk menolak booster (penggalak) 4,5,6,7,8,9,10..Saya hibahkan vaksin bahagian saya tu kepada yang sudi..ambil lah saya tak kisah,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas tentera berpangkat sarjan itu yang ditamatkan perkhidmatan kerana menolak arahan pengambilan vaksin Covid-19.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dilaporkan berkata, tiada kesalahan undang-undang atau tindakan tidak rasional dilakukan pihak tentera ketika menamatkan perkhidmatan Wan Ramli Wan Seman.
Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata, perintah vaksinasi Covid-19 dikenakan ke atas semua anggota tentera Malaysia melalui surat bertarikh 3 Mac 2021.
“Berdasarkan perintah vaksinasi itu, vaksinasi Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) kecuali mereka dalam kumpulan yang tidak layak untuk divaksinasi.
“Selain itu, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang ingkar perintah itu,” katanya.
Hakim berkata perintah vaksinasi telah diedarkan kepada semua anggota Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Rasah di Seremban, tempat pemohon berkhidmat.
Menurutnya, pemohon jelas mengingkari perintah apabila enggan divaksinasi mengikut perintah vaksinasi yang dikeluarkan oleh TDM kepada anggotanya.
Wan Ramli memfailkan semakan kehakiman pada 27 September 2021 susulan penamatan awal khidmatnya dan hilang hak berperlembagaan ke atas pencen selepas dipecat secara tidak terhormat.
Dalam permohonannya, Wan Ramli menamakan Leftenan Kol Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Tentera Darat, dan kerajaan, sebagai responden. – Malaysiapost

