LIMA penjawat awam antara enam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas dipercayai meminta rasuah sebanyak RM20,000.
Kesemua lelaki termasuk seorang orang awam berusia antara 29 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di Semporna, Sabah.
Menurut sumber, lima penjawat awam berkenaan bertugas di sebuah jabatan di Semporna.
Kesemua suspek ditahan kerana dipercayai meminta wang rasuah daripada orang awam supaya tidak mengambil tindakan ke atas anaknya yang disyaki melakukan kesalahan menyimpan minyak masak bersubsidi kira-kira 100 kotak yang disyaki diseludup ke luar negara.
Mereka ditahan pegawai SPRM selepas dipercayai menerima sebahagian daripada wang rasuah kira-kira RM5,000 daripada orang awam berkenaan pada jam 10 malam tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau untuk proses permohonan reman pada hari ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

