‘Buka ruang pertandingan, jangan matikan demokrasi dalam Umno’ – KJ

0
1

BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin menyifatkan sokongan kepada keputusan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 adalah satu ‘kegilaan’.

Beliau berkata, Ketua-ketua Bahagian Umno yang bersetuju dengan perkara itu agar segera berhenti menyokong cadangan terbabit kerana beliau percaya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu gentar dengan pencabarnya.

“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter (pejuang) yang tidak gentar menghadapi pencabar,” katanya dalam hantaran Insta Story, sebentar tadi.

Demikian itu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menegaskan agar ruang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibuka untuk pemilihan PAU 2022.

“Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam Umno,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan seramai 140 Ketua Bahagian Umno seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Ahmad Zahid tidak dipertandingkan pada pemilihan PAU yang dijangka Mei nanti.

Mewakili kumpulan itu, Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Katanya, tumpuan Umno ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berpandangan adalah lebih baik jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi mengelak perpecahan lebih buruk dalam Umno.

Bagaimanapun, Mohamad Hasan berkata, beliau terbuka sekiranya jawatan Timbalan Presiden itu dicabar dan beliau sedia mempertahankannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here