Polis Johor bongkar stor simpanan dadah milik suami isteri

0
2

POLIS Johor membongkar kegiatan pengedaran dadah didalangi suami isteri yang menjadikan rumah dan kereta sebagai transit stor penyimpanan dadah dalam serbuan di kediaman pasangan terbabit di Taman Aman, Senai pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pasangan berusia 34 dan 30 tahun itu turut ditahan dalam Op Khas yang dijalankan sekitar Kulai dan Iskandar Puteri bermula pada jam 6 petang Sabtu hingga 2 pagi tadi.

Beliau berkata, empat serbuan berasingan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dalam operasi berkenaan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM 681,972.

Menurutnya, keseluruhan tangkapan adalah seramai 13 suspek membabitkan lapan lelaki dan lima wanita tempatan berusia 21 hingga 55 tahun.

“Kesemua suspek ditahan bersama dadah terdiri daripada 74.85 kilogram (kg) dadah bersamaan 76 ketulan mampat, 1,643 biji pil ecstacy, 9.29 kg heroin dan tujuh paket ketamin. Dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 123,833 penagih.

“Selain itu, polis turut menyita tujuh kereta, tiga motosikal dan pelbagai barangan kemas dengan keseluruhan nilai sitaan sebanyak RM319,950,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sindiket yang aktif sejak empat bulan lalu menjadikan rumah teres dan kereta sebagai stor simpanan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran berdekatan.

“Hasil saringan urin mendapati kesemua suspek negatif sementara semakan rekod pula mendapati enam suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 398B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Bagi tempoh 1 hingga 10 Januari 2023, JSJN Johor berjaya menahan seramai 452 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 534 kg dadah dianggarkan bernilai RM743,773 serta menyita RM487,690 harta sindiket. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here