KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) akan meneruskan perancangan untuk memperoleh 18 pesawat tempur ringan (light combat aircraft) yang telah diluluskan secara dasar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihaknya akan memastikan jemaah menteri dan Kabinet baharu mengabsahkan perancangan itu yang telah diluluskan kerajaan terdahulu.
“Kita hendak supaya jemaah menteri dan kabinet baharu ini dapat mengabsahkan apa yang diluluskan (18 pesawat tempur ringan) kabinet terdahulu.
“Perolehan pesawat tempur ringan masih kekal 18 dan kalau boleh secepat mungkin, tapi ia perlu melalui proses-proses tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan melihat keutamaan dan cadangan untuk menambah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia melibatkan peruntukan yang besar.
“Kita hendak melengkapkan apa yang sepatutnya kita ada dan apa yang perlu dinaiktarafkan (pesawat),” katanya.
Mengulas mengenai persiapan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23), Mohamad berkata, MINDEF telah menjemput enam negara bagi menyertai pertunjukan statik dan udara.
“Dua negara telah mengesahkan untuk terlibat pertunjukan berkenaan. Setakat ini, 80 peratus pempamer telah mengambil bahagian untuk menyertai LIMA’23 yang merupakan satu pertunjukan udara dan maritim yang terbesar. Maka kita perlu meneruskannya kerana kali terakhir ia diadakan pada 2019,” katanya.
LIMA’23 dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini yang akan disertai lebih 600 syarikat pempamer daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa dan dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi. – Malaysiapost

