Harimau Malaya sudah sedia mental, fizikal – Pan Gon

0
2

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon, yakin pasukannya telah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi berdepan Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Thammasat, malam ini.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu, bagaimanapun mengakui cabaran sukar menanti anak-anak buahnya untuk berdepan tuan rumah walaupun berbekal kelebihan satu gol hasil perlawanan separuh akhir pertama Sabtu lalu.

“Kami mempunyai kelebihan tetapi kami sedar sepenuhnya bahawa perlawanan di tempat lawan adalah sangat sukar, namun kami telah pulih dari segi mental dan fizikal serta bersedia untuk perlawanan esok.

“Semua sudah bersedia dan penuh keyakinan untuk menentang Thailand…kami mahu memperoleh keputusan yang baik,” katanya dalam sidang media pra perlawanan semalam.

Sementara itu, beliau juga mengakui menjuarai Piala AFF 2022 menjadi sasaran pentingnya bersama skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, jika Malaysia mara ke final kali ini, ia adalah satu penghormatan baginya untuk menggembirakan peminat bola sepak negara sebelum bertarung untuk mencapai kejuaraan.

“Secara peribadi bagi saya Piala AFF adalah kejohanan yang sangat menarik, ketika saya di Hong Kong dan Korea Selatan, saya berminat untuk menyaksikan kejohanan ini. Apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, menjadi juara Piala AFF adalah antara salah satu sasaran penting.

“Jika kita ke final, ia merupakan satu penghormatan besar bagi membanggakan penyokong Malaysia,” katanya.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu, skuad kebangsaan berjaya menewaskan Thailand 1-0 dan kini hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke final Piala AFF 2022.

Menanti di final adalah pasukan Vietnam yang menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, malam tadi.

Vietnam mara dengan agregat 2-0 selepas aksi pertama di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Jumaat lalu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here