TAK perlu ke India, sebaliknya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu disaran datang ke Parlimen Ayer Hitam untuk melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam.
Saranan itu dikemukakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menyatakan di Yong Peng sahaja terdapat lebih 100 ladang ayam.
“Di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari.
“Abang Mat, telur tempatan hanya boleh dijual dengan RM0.41 sebiji kerana ada kawalan harga.
“Penternak tempatan rugi kerana kos mereka melebihi harga kawalan telur. Kalau rugi, penternak tak akan membela ayam untuk menghasilkan telur,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu hari ini, Mohamad memaklumkan beliau berlepas ke Namakkal, Tamil Nadu, India, hujung minggu lalu bagi melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam yang dieksport ke Malaysia.
Lawatan itu juga bagi memastikan telur yang diimport untuk rakyat Malaysia bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.
Mohamad menghabiskan masa selama dua jam di ladang pengeluaran dan pusat pengumpulan telur untuk pasaran Malaysia.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata beliau pelik telur import dari India dijual dengan 50 sen sebiji berbanding 41 sen di Malaysia.
“Kalau diangkut melalui kapal, telur dari India perlu masa tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Malaysia. Segarkah telur India berbanding telur tempatan?
“Abang Mat, apa kata harga kawalan diubah? Saya rasa kalau harga kawalan ditetapkan RM0.50 sebiji (sama macam harga telur import dari India), mungkin penternak tempatan sanggup bela kerana mereka tak akan rugi.
“Kalau kerajaan mampu dan bersungguh nak bantu golongan B40, boleh wujudkan “elaun telur secara top up” kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji. Kalau RM200 setahun, banyak telur boleh dimakan oleh keluarga B40.
“Abang Mat, telur India RM0.50 sebiji tau? Utamakanlah penternak tempatan. Tak payah import telur dari India jika bekalan mencukupi. Kan Kementerian Abang Mat turut menjaga keterjaminan makanan? Fikir-fikirkanlah Abang Mat!
“Telur dan ayam adalah makanan asas rakyat tak kira kaum atau agama. Patut dijadikan keutamaan,” katanya. – Malaysiapost

