MESKIPUN tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican masih lagi mengambil berat mengenai perkembangan pembangunan di Pulau Pinang terutamanya di kawasan Parlimen berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Reezal telah berkongsi pertemuannya bersama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dari PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini bagi membincangkan perkara yang menyentuh infrastruktur pembangunan di Pulau Pinang.
“Alhamdulillah. Saya berbesar hati dapat bertukar-tukar pandangan bersama Puan Nurul Izzah Anwar semasa pertemuan kami tengahari tadi.
“Banyak juga yang sempat kami bincangkan dan tertumpu kepada usaha dalam memastikan segala program dan inisiatif pembangunan di Pulau Pinang dapat diteruskan sebagaimana yang telah dirancang sewaktu saya masih lagi dalam Kerajaan,” katanya,
Reezal menegaskan, walaupun beliau dan Nurul Izzah tidak lagi menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen masing-masing, tidak bermakna segala kerja-kerja mereka menabur bakti kepada rakyat juga terhenti.
“Walaupun kami berdua tewas di parlimen masing-masing sewaktu PRU15 yang lalu, namun ini bukan titik noktah kepada khidmat bakti kami kepada rakyat.
“InsyaAllah, moga kerjasama ini memberi manfaat untuk rakyat Pulau Pinang dan Demi Kepala Batas,” katanya.
Pada PRU15 lalu, Reezal dan Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi yang mereka sandang di Kepala Batas dan Permatang Pauh apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional. – Malaysiapost

