Mat Sabu tinjau sendiri ladang telur di India

0
2

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, berlepas ke Namakkal, Tamil Nadu, India, hujung minggu lalu bagi melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam yang dieksport ke Malaysia.

Lawatan itu juga bagi memastikan telur yang diimport untuk rakyat Malaysia adalah bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan, lapor Harapan Daily.

Mohamad menghabiskan masa selama dua jam di ladang pengeluaran dan pusat pengumpulan telur untuk pasaran Malaysia.

“Setelah melihat sendiri, saya yakin telur ini selamat dan melalui proses dalam persekitaran yang bersih untuk dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Ladang pengeluaran telur di Namakkal itu terletak lapan jam perjalanan darat dari lapangan terbang Chennai, Tamil Nadu, selatan India.

Sementara itu, melalui klip video yang dihantar, Mohamad turut melawat pusat pengumpulan telur sebelum ia dihantar ke Malaysia, Maldives, Qatar, Oman dan beberapa negara lain lagi.

Dari Chennai, Mohamad terus pulang semula ke tanah air selepas meluangkan masa meninjau sendiri ladang dan pusat pengumpulan telur di sana.

Mulai 15 Disember lalu, telur yang diimport dari Namakkal, India di bawa masuk ke Malaysia melalui penghantaran percubaan.

Langkah itu bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran yang dibawa dengan kargo udara menyebabkan harganya lebih mahal kerana kos pengangkutannya.

Mohamad menjelaskan selepas mendapati telur berkenaan selamat dan bersih serta dapat diterima rakyat, maka telur berkenaan akan diimport menggunakan kapal laut.

Katanya, disediakan kontena penghawa dingin bagi memastikan kualiti telur tidak jatuh sepanjang perjalanan.

“Harganya diyakini akan lebih rendah selepas ini dan kompetitif dengan harga telur tempatan.

“Saya berpuashati dengan kebersihan dan kualiti telur yang dihasilkan di ladang ini.

“Dengan usaha ini saya berharap orang ramai tidak akan ada masalah dengan bekalan telur lagi terutama sekali di musim perayaan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Harapan Daily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here