POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai barang dengan nilai rampasan sebanyak RM132.7 juta dan menahan 306 orang sepanjang tahun 2022 dalam beberapa operasi yang dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kejayaan itu adalah hasil daripada pelbagai operasi termasuk Op Kontraban yang bertujuan membendung ketirisan barangan kawalan bersubsidi dan Op Bersepadu Khazanah untuk hidupan liar.

Menurutnya, antara kejayaan berkenaan adalah terdiri daripada tindakan mengikut Akta Kastam 1967 dengan jumlah rampasan RM68 juta, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 1967 (RM25,000) dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (RM2.85 juta).
“Selain Akta Bahan Letupan (RM7.57 juta), Akta Kawalan Bekalan (RM40.3 juta), Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (RM1.5 juta), dan Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan (Bitcoin) dengan jumlah rampasan bernilai RM1.58 juta.
“Akta Senjata 1960 (RM12,000), Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (RM7.3 juta), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Bahan Kosmetik 1984 (ubat Covid-19) serta Akta Racun 1952 (vape) dengan rampasan bernilai RM3.42 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, statistik terbaharu bagi rampasan dan tangkapan terkini tahun ini pula adalah keseluruhan bernilai RM27.4 juta, membabitkan tangkapan seramai 23 orang bagi tempoh 1 hingga 6 Januari lalu.
Menurutnya, kejayaan itu hasil daripada sembilan serbuan dan operasi yang dijalankan JKDNKA membabitkan Akta Kastam 1967 (RM24.22 juta), Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM971,149) dan Akta Racun 1952 (RM2.2 juta).

“Bagi tahun 2023, JKDNKA akan terus melaksanakan operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Usaha bersepadu ini adalah langkah proaktif bagi PDRM menyumbang secara lebih efektif dalam membendung penyelewengan minyak diesel bersubsidi, rokok serta minuman keras demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam,” katanya. – Malaysiapost

