Ewon jadi Presiden Upko secara rasmi Ahad ini

0
2

PRESIDEN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan menyerahkan jawatan yang disandangnya secara rasmi kepada Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick, Ahad ini.

Penyerahan jawatan Presiden kepada Ewon itu akan dibuat pada Konvensyen Upko yang dijadualkan berlangsung di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, hujung minggu ini.

Timbalan Setiausaha Agung Upko, Fairuz Bandar berkata, Madius mengambil keputusan itu selepas kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) Sabah, serta kegagalan parti yang sekadar menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tindakan yang diambil Madius itu sekali lagi menunjukkan kematangan politik dengan melakukan proses peralihan kepimpinan melalui perundingan demi mengelakkan perpecahan dalam parti.

“Kekalahan Madius dalam PRN-16 dan kegagalan Upko menawan 11 daripada 12 kerusi ditandingi antara faktor utama beliau melepaskan jawatan tertinggi parti itu kepada Ewon,” katanya dipetik Harian Metro.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian memenangi kerusi Parlimen Penampang dengan kelebihan 14,410 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here