KEPUTUSAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan video bantuan pengadil (VAR) pada Liga Malaysia tahun ini, disifatkan sebagai satu langkah yang amat dinanti-nantikan bagi memajukan sukan bola sepak negara.
Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho, berkata walaupun pengumuman Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung perkara itu didakwa sedikit terlambat, namun ia tetap menggembirakan.
“Ini kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah lama memperkenalkan VAR bagi meminimumkan keputusan kontroversi oleh pengadil sesuatu perlawanan.
“Dalam aksi separuh akhir pertama antara skuad kebangsaan dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu, misalnya, pengadil Kim Dae-yong menidakkan satu gol Harimau Malaya hasil tandukan Dominic Tan pada minit ke-55 perlawanan.
“Keputusan kontroversi seperti ini bukan kali pertama berlaku. Ia boleh dielakkan sekiranya VAR digunakan dan segala buruk sangka, tohmahan dan cacian di dalam pelbagai bentuk media oleh mana-mana pihak tidak perlu berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, pengadilan yang saksama merupakan kunci kepada mutu sesuatu perlawanan selain persembahan pemain-pemainnya.
Katanya, pengadilan yang berat sebelah bukan sahaja mencacatkan perlawanan malah ‘membunuh’ minat penonton-penonton yang menyaksikan sesuatu perlawanan.
“Justeru, kita berharap penggunaan teknologi VAR ini boleh dipercapatkan serta diperluaskan bagi merangkumi semua perlawanan bola sepak di Malaysia, baik yang melibatkan FAM, mahupun AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean),” katanya.
Semalam, Hamidin mengesahkan VAR akan mula diperkenalkan pada tahun ini di Liga Malaysia.
Bagaimanapun katanya, penggunakan VAR itu tidak secara menyeluruh kerana hanya melibatkan perlawanan penting seperti suku akhir, separuh akhir dan final Piala FA dan Piala Malaysia.
Ketika ditanya tentang kos untuk penggunakan VAR tersebut, Hamidin berkata, pihakya akan bersama MFL untuk penggunakan teknologi itu.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa FAM dan MFL bersetuju untuk melaksanakan VAR dalam saingan Liga Malaysia musim depan. – Malaysiapost

