Kunjungan Anwar ke Indonesia meterai MoU bernilai RM1.66 bilion

0
2

SEBANYAK RM1.66 bilion nilai potensi pelaburan dimeterai menerusi sembilan perjanjian persefahaman dan kerjasama merangkumi pelbagai sektor perniagaan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia, bermula hari ini.

Perdana Menteri berkata, menerusi kerjasama ini, Malaysia secara rasmi menyatakan hasrat untuk terlibat sama dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara.

Sebaik tiba di Jakarta, Perdana Menteri telah menghadiri sekali gus menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia serta penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LOI) oleh syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan Indonesia.

“Hasrat berkenaan disuarakan 10 syarikat Malaysia menerusi 11 LOI.

“Sembilan MoU turut diserahkan pada majlis petang tadi, melibatkan sejumlah RM1.66 bilion,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Majlis itu telah diadakan di Hotel Grand Hyatt Jakarta, dihadiri Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi serta Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono. . 

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Anwar memaklumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhasrat meneroka peluang untuk terlibat dalam sektor tenaga termasuk tenaga diperbaharui.

“Semoga segala kerjasama ini akan dipermudahkan demi kemakmuran Malaysia-Indonesia, InsyaAllah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here