Anwar sifatkan Indonesia sahabat sejati

0
2

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Indonesia sebagai sahabat sejati ketika beliau melalui pelbagai liku kehidupan sebelum ini. 

Perdana Menteri berkata, atas sebab itu  beliau telah memilih Indonesia sebagai lawatan pertama ke luar negara selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu. 

 “Dalam keadaan saya terlempar, terbuang, tersisih, Indonesia itu terima saya sebagai sahabat sejati. Indonesia itu sahabat sejati,” katanya ketika ditanya seorang wartawan Indonesia mengapa memilih negara ini untuk lawatan pertamanya ke luar negara. 

Perdana Menteri berkata demikian merujuk kepada keberadaannya yang pernah melalui pelbagai cabaran dan dugaan sebagai seorang ahli politik dan pejuang reformasi suatu ketika dahulu.

Selain itu, Anwar turut menjelaskan, Indonesia merupakan negara jiran, serumpun dan satu manifestasi persahabatan dua negara serumpun.

Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam rangka lawatan dua hari ke Indonesia hari ini bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Bogor, esok. 

Terdahulu, Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia serta penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LOI) oleh syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan Indonesia.

Majlis yang diadakan di Hotel Grand Hyatt Jakarta itu dihadiri Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi serta Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono, lapor Utusan Online. 

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. 

Ditanya pertemuan dengan Jokowi esok, Anwar berkata, ada 12 perkara yang akan dibawanya dalam pertemuan itu.

“Insya-Allah esok jumpa sama (Presiden) Jokowi. Ada 12 perkara, akan saya perincikan nanti,” katanya. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here