Najamuddin Mohd Nor
VETERAN Umno melahirkan kebimbangan berhubung terdapat usaha pihak-pihak tertentu yang cuba memperalatkan ahli Umno untuk memecah belahkan parti itu ketika ini.
Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, gerakan yang merugikan Umno itu turut didalangi orang luar yang berhasrat menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Veteran Umno bimbang dengan perkembangan mutakhir ini yang memperlihatkan ada usaha-usaha untuk mengucarkacirkan Umno oleh orang luar dengan memperalatkan orang dalam akan memerangkap Umno ke dalam kancah yang boleh merugikan Umno dan Kerajaan Perpaduan.
“Ada pihak yang tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Di satu pihak yang lain pula mahukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijatuhkan sebagai Presiden Umno.
“Gabungan dua pihak ini mampu memporak perandakan Umno dan Kerajaan Perpaduan sekiranya ahli Umno mengizinkan ianya berlaku.
“Pihak yang tidak mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri akan memperalatkan Umno dengan cara melaga-lagakan kepimpinan Umno. Tindakan ini dapat dilakukan dengan sokongan dalaman Umno yang mahu Zahid dijatuhkan dalam PAU pemilihan yang akan diadakan tahun ini,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Mustapha berkata, mereka yang memasang niat untuk mencabar Ahmad Zahid dalam pemilihan jawatan Presiden harus melihat kesan yang bakal diterima parti terlebih dahulu.
“Walaupun Zahid secara terbuka menyatakan yang dia bersedia untuk berlawan dan dilawan, tapi itu bukan bermakna Zahid menjemput orang melawannya.
“Kenyataan itu lebih bersifat kenyataan seorang Presiden yang percayakan demokrasi patut kekal dalam Umno.
“Terserahlah kepada orang yang mahu melawan itu membuat tafsiran disebalik kenyataan itu dan jangan jadikan demokrasi sebagai alasan.
“Kestabilan parti dan kerajaan wajib diutamakan. Apatah lagi setelah Umno dan BN kalah teruk dalam PRU15 dan kesan ketidakstabilan kerajaan sebelum ini yang telah menyusahkan rakyat dan memusnahkan ekonomi negara,” katanya.
Mustapha menambah, sekiranya Umno bergolak, tempiasnya akan terkena Kerajaan Perpaduan yang pastinya menjadikan politik negara kembali tidak stabil.
“Tidak dinafikan bahawa Umno dan BN adalah tunggak utama kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan yang masih setahun jagung umurnya.
“Kejayaan dan kekuatan kerajaan sekarang banyak bergantung kepada kestabilan Umno yang menjadi pendokong utamanya.
“Sekiranya Umno bermasalah dan bergolak, maka kesannya akan dirasai sama oleh Pakatan Harapan malah mampu menggugat ksetabilan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.
Justeru, Mustapha menegaskan, setiap ahli Umno yang mahu bertanding wajar memikirkan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri dan pihak-pihak tertentu.
“Berdasarkan kepada kebimbangan itu, maka Veteran Umno berharap semua pihak dapat berfikir dengan waras sebelum memutuskan samaada mahu meneruskan hasrat mereka untuk bertanding dalam pemilihan parti nanti.
“Fikirkanlah yang terbaik untuk parti dan kestabilan kerajaan. Parti perlu diperkuatkan dan kerajaan sekarang mesti dikekalkan untuk tempoh lima tahun,” katanya. -Malaysiapost

