Pelajar UiTM Dungun dipercayai lemas di Cherating

0
2

Ben Ibrahim

CUTI hujung minggu sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Pantai Cherating, dekat Kuantan, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas petang tadi.

Mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, yang juga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu dilaporkan dibawa arus deras ketika beriadah bersama 19 lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama 19 orang lagi rakannya hadir ke pantai tersebut untuk berehat dan berkelah.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada rakan mangsa, ketika kejadian mereka sedang membuat permainan bulatan di dalam air sebelum dihempap ombak besar.

“Susulan itu, mereka (kumpulan pelajar) terpisah dan mangsa dikatakan ditarik oleh arus ombak ke tempat lebih dalam.

“Semua rakan mangsa sempat menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan orang ramai bagi mencari mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih dijalankan ketika ini dan sehingga petang ini, mangsa belum dapat dikesan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan jam 1.54 petang.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dihantar ke Kampung Cherating Lama sebaik menerima laporan.

“Operasi turut dibantu pegawai dan anggota dari Balai Bomba Kuantan dan penduduk kampung,” katanya.

tamat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here