Tengku Zafrul Sah sertai Umno Kota Raja

0
1

DATUK Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kini sah menjadi ahli Umno Bahagian Kota Raja.

Dalam perkongsian di Facebooknya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau menerima pelawaan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Umno Bahagian Kota Raja.

“Alhamdulillah, terima kasih atas pelawaan untuk bersama keluarga besar Umno Kota Raja. Bak kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

“InsyaAllah bersama kita teruskan tradisi membela rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Kota Raja, Raouf Mokhtar berkata penyertaan Tengku Zafrul yang juga Bendari Barisan Nasional (BN) Selangor itu sangat bermakna buat mereka.

“Saya amat berbesar hati dengan kehadiran Tengku Zafrul ke Umno Bahagian Kota Raja.

“Secara peribadi kehadiran beliau akan memperkukuh lagi gerak kerja kami melalui pengalamannya sebagai Menteri Kewangan dan sekarang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Saya mengharapkan Tengku Zafrul sudi berkongsi pengalaman beliau kepada seluruh keluarga besar Umno Kota Raja. Kami sentiasa terbuka untuk menerima ahli-ahli Umno yang berpotensi untuk memperkukuh Umno di Selangor,” katanya.

Raouf berkata, pelawaan kepada Tengku Zafrul adalah keputusan secara bersama sebagai satu bahagian dan beliau bersyukur kerana semua ahli jawatankuasa Umno Kota Raja menyambut baik cadangan pelawaan tersebut.

“InsyaAllah, semoga Umno Kota Raja menjadi bahagian yang kukuh akarnya, teguh pendiriannya. Semoga Allah merahmati kita semua,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here