SEORANG individu yang juga penjawat awam ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian barang milik mangsa tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, 16 Disember lalu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata lelaki berusia 27 tahun berkenaan ditahan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Katanya, susulan tangkapan tersebut polis turut merampas barang dipercayai milik mangsa terlibat kejadian tanah runtuh itu.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Media melaporkan polis menerima dua laporan mengenai kehilangan barang milik mangsa tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Genting Highland, 16 Disember lalu.
Ia berikutan polis mengesan satu perkongsian di Facebook, dipercayai ditulis seorang ahli keluarga mangsa mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch N Go milik mangsa tragedi itu. – Malaysiapost

