SPRM tahan ‘orang tengah’ agih projek bawah kerajaan PN

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’ dalam pengagihan projek-projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang tahun 2020 hingga 2022.

Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan dalam siasatan kes berkenaan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya lewat malam tadi.

SPRM sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan yang difokuskan kepada dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi.

Sumber itu berkata, SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperolehi projek-projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

“Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

“Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus,” katanya.

Menurut sumber lagi, suspek yang ditahan itu dipercayai telah menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor-kontraktor dan pihak atasan.

Setakat ini, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Sumber itu menambah, Ketua Pegawai Eksekutif yang ditahan itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan ditahan reman selama lima hari bermula 6 hingga 10 Januari 2023.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here