Konsert Jay Chou: Menteri tak boleh salahguna kuasa – Hannah Yeoh

0
2

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung konsert penyanyi dari Taiwan, Jay Chou di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Wan Ahmad Fayhsal hari ini meminta Yeoh menggunakan kuasanya sebagai menteri ‘mengorbankan’ konsert tersebut demi memastikan lebih ramai peminat Harimau Malaya hadir ke stadium menyaksikan aksi separuh akhir Piala AFF, malam esok.

Menurut Yeoh, beliau tidak boleh menggunakan kuasa sebagai menteri bagi menghentikan konsert tersebut yang mana 45,000 tiket telah terjual.

“Kuasa menteri tu tak boleh disalahgunakan. Konsert Jay Chou itu world tour dan 45,000 tiket sudah dijual.

“Axiata Arena hanya boleh muat 13,000. Nak keluarkan kenyataan politik, kena rajin semak fakta dulu,” ciapnya di Twitter.

Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal menyoal kepentingan konsert hiburan selebriti Taiwan berbanding maruah sukan negara sehingga terpaksa mengorbankan 21,000 tempat duduk Stadium Nasional, Sabtu ini.

Katanya, sepatutnya Stadium Nasional mengutamakan sukan negara dan acara selain daripada itu boleh dibuat di Axiata Arena.

Beliau juga meminta Menteri Belia dan Sukan memperbetulkan keadaan itu bagi membela nasib sukan negara.

Rabu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan hanya 59,000 tiket dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini. 

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, ini kerana 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ berikutan dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here