DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan terlibat dalam dakwaan ‘gerakan rahsia’ untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa beliau sering menjadi mangsa serangan fitnah oleh pihak yang “tidak mengenal dosa” apabila dikaitkan mengenai ‘Langkah London’.
Naib Presiden Umno itu menjelaskan, beliau mengambil pendekatan mendiamkan diri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengelak menjadi mangsa fitnah atau spekulasi.
“Saya berdiam diri sejak selepas PRU15 sehingga kini. Tiada sebarang kenyataan mengenai Umno dibuat, tiada kenyataan mengenai kerajaan juga.
“Tujuan saya supaya tiada spekulasi dan fitnah mengaitkan saya, tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya.
“Sebab itu saya menganggap (tuduhan) ini tindakan fitnah yang berniat jahat,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan spekulasi wujud gerakan rahsia melibatkan beberapa pemimpin politik, termasuk dari Umno dan pembangkang.
Mereka dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dituduh mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara.
Mengulas mengenainya, Ismail Sabri menjelaskan beliau tidak pergi atau bercuti ke London baru-baru ini, sebaliknya menghabiskan masa bersama keluarga di Timur Tengah.
“Ketika itu saya berada di Abu Dhabi dan Dubai untuk bercuti bersama keluarga. Kami melawat Warner Bros di Abu Dhabi.
“Takkan tak pakai winter cloth (baju sejuk) kalau di London,” katanya. – Malaysiapost

