PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perutusan tahun baharu bukan semata-mata memberi peringatan kepada umat Islam sahaja, biarpun ia dibuat dari Mimbar Masjid Putra, Putrajaya malam ini.
Sebaliknya, beliau berkata, perutusan tersebut turut ditujukan kepada seluruh masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Menurutnya, negara ketika ini berdepan dengan isu perkauman sempit dan fahaman agama yang pantas menghukum tanpa berlandaskan kepada fakta.
“Saya tidak perlu memohon maaf kerana berbicara satu mesej untuk negara dari masjid.
“Mesej ini adalah kepada orang Islam dan bukan Islam,” katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2023 malam ini.
Terdahulu, Anwar menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 yang diadakan di Masjid Putra.
Beliau yang tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 6.20 petang tadi, turut solat maghrib dan isyak berjemaah dengan kira-kira 2,000 jemaah di Dewan Solat Utama Masjid Putra.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar. – Malaysiapost

