BERMULA esok, ‘Nombor Bil’ akan digunakan sebagai rujukan mandatori bagi urusan pembayaran semua jenis cukai langsung kecuali bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Duti Setem.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam satu kenyataan, memaklumkan maklumat berkenaan Nombor Bil boleh diperoleh mulai esok dengan melayari Portal MyTax menerusi https://mytax.hasil.gov.my/.
“Selepas melayari Portal MyTax itu, pengguna perlu klik Perkhidmatan ezHasil seterusnya klik e-Billing.
“(Ia) dinyatakan dalam notis taksiran atau anggaran dan surat-surat tuntutan bayaran yang dihantar oleh LHDN kepada pembayar cukai,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut LHDN, bayaran cukai boleh dibuat secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Bayaran LHDN dan bank-bank ejen.
“Bagi tujuan bayaran di kaunter dan bank-bank ejen, pembayar cukai perlu mencetak slip bayaran atau muat turun Nombor Bil yang diperlukan dengan mengimbas Kod QR pada slip bayaran berkenaan.
“Namun, dalam tempoh peralihan kepada penggunaan Nombor Bil, Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Nombor Rujukan Cukai masih boleh digunakan dalam urusan pembayaran cukai langsung yang berkaitan hingga 30 Jun 2023,” katanya.
Orang ramai boleh melayari portal rasmi Hasil di https://www.hasil.gov.my/ untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara).
“Atau Hasil Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal Hasil melalui pautan pantas https://maklumbalaspelangan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” katanya. – Malaysiapost

