Langgar syarat lesen, bot nelayan bersama 2 warga asing ditahan

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1 kerana menggajikan kru warga asing di sekitar perairan Sungai Besar, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata bot itu ditahan kira-kira jam 8 pagi ketika sedang menangkap ikan di kedudukan 3.2 batu nautika Barat Daya Sungai Besar oleh bot peronda Maritim Malaysia .

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan dua warga tempatan dan dua warga asing berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah ketika diminta penguat kuasa.

“Bot bersama kesemua kru nelayan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dua warga tempatan dan dua warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

“Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here