FAM pangkah terus khidmat Ryuji Sato

0
2

SERIK dua kali menjadi mangsa pengadilan berat sebelah Ryuji Sato, menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertekad tidak akan membiarkan Harimau Malaya menjadi mangsa pengadil dari Jepun itu sekali lagi pada masa depan.

Lantaran itu, satu surat rasmi telah dihantar kepada Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) mendesak Ryuji tidak lagi mengadili perlawanan yang melibatkan Malaysia.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan, Malaysia mendesak Ryuji tidak dipilih selaku pengadil membabitkan perlawanan Harimau Malaya yang dinyatakan dałam surat rasmi dihantar semalam.

Meskipun menyedari keputusan perlawanan antara Vietnam menentang Malaysia tidak dapat diubah, Noor Azman berkata, FAM mengambil iktibar sekali gus memastikan Harimau Malaya tidak terus menjadi mangsa Ryuji.

“Menerusi surat rasmi yang dihantar melalui email jam 5 petang (semalam) beserta klip video dan mengharapkan Jawatankuasa Pengadil AFF menilai serta mengkaji semula, walaupun keputusan tidak akan berubah tetapi sekurang-kurangnya untuk kita jadikan iktibar pada masa akan datang.

“Kalau dalam bahasa mudah difahami kita (FAM) tidak mahu Ryuji mengadili perlawanan membabitkan Malaysia agar isu seumpama ini tidak berulang.

“Tapi bila kita hantar laporan rasmi itu harap AFF fahamlah,” katanya dipetik Flash Sukan.

Mengulas mengenainya, Noor Azman berkata, FAM memutuskan menghantar surat rasmi kepada AFF selepas meneliti rakaman video membabitkan layangan kad merah yang ternyata mempunyai asas yang kuat untuk dipertikaikan.

“FAM pun lihat rasa tidak puas hati dikalangan peminat dengan keputusan dibuat Ryuji, memang keputusan perlawanan tidak boleh diubah tetapi FAM telah menjalankan tugas menyuarakan rasa tidak puas hati terdapat mutu pengadilan pada perlawanan tersebut,” katanya.

Menariknya, Malaysia mengalami dua kali mangsa pengadilan berat sebelah Ryuji yang melibatkan dalam dua aksi menentang pasukan yang sama.

Dalam aksi perlawanan Kumpulan B Kejohanan AFF Mitsubishi Electrical 2022 yang berlangsung di Hanoi, Selasa lalu, Ryuji dikecam hebat penyokong bolasepak negara kerana telah membunuh semangat anak buah Kim Pan Gon yang ketika itu sedang mencari gol penyamaan.

Pada minit ke-60, Vietnam telah dihadiahkan sepakan penalti dan pertahanan negara, Azam Azmi Murad dilayangkan kad merah kerana didakwa mengasari Doan Van Hau meskipun tiada insiden kekasaran berlaku dalam kotak penalti Malaysia.

Keputusan Ryuji itu telah menjatuhkan moral dan semangat pemain Malaysia yang terpaksa tunduk mengalah dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan itu.

Pada tahun lalu, Ryuji pernah dikecam peminat bola sepak Malaysia ketika turut mengadili aksi antara Malaysia dan Vietnam pada kempen kelayakan Piala Dunia di Dubai

Dalam perlawanan itu, Ryuji telah menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada Vietnam ketika perlawanan berbaki 10 minit, sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 1-2. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here