MEMORANDUM Transformasi Parlimen telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul petang semalam.
Penyerahan memorandum berkenaan adalah susulan daripada komitmen yang dibuat antara kerajaan dan pembangkang pada Februari lalu.
Kenyataan bersama Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, memaklumkan Perdana Menteri menyambut baik usaha tersebut dan menyatakan kepada kedua-dua Yang Dipertua bahawa penelitian khusus akan dilakukan termasuk pandangan objektif Jemaah Menteri dan pihak berwajib yang lain.
“Jawatankuasa Transformasi Parlimen yang dipengerusikan Tan Sri Dr Rais semenjak setahun lalu telah menyelesaikan kerja-kerja semakan perundangan ke arah menjadikan Parlimen bebas daripada kepentingan dan kuasa mana-mana pihak termasuk Eksekutif.
“Memorandum itu juga mengesyorkan supaya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperbaharui dan dilunaskan dengan segera supaya konsep Asingan Kuasa benar-benar dilaksanakan dan bersekali menjaga kepentingan penjawat awam yang berkhidmat di bawah Parlimen kini,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, penyampaian memorandum berkenaan turut menyentuh beberapa pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk mengendalikan isu berkaitan kelakuan, kanun etika dan tata disiplin setiap Ahli Parlimen di kedua-dua Dewan.
“Kedua-dua Speaker Parlimen dan Perdana Menteri juga membincangkan tentang potensi menjadikan ‘rasa juang negara’ dalam kalangan peserta Parlimen Belia melalui sebaran dan serapan nilai-nilai Rukun Negara yang kini didapati tiada promosi dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Yang Dipertua Dewan Negara turut memaklumkan Perdana Menteri akan bertemu pimpinan Dewan Negara dalam tempoh terdekat bagi melunaskan beberapa hal dan isu berkaitan Senat sebagai Dewan Tertinggi Negara.- Malaysiapost

