Tiada kes jangkitan ‘ameba pemakan otak’ di Malaysia

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau ‘ameba pemakan otak’ dilaporkan di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun menasihatkan rakyat supaya berhati-hati terutamanya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

Menurutnya, Naegleri Fowleri adalah ameba termofilik atau dikenali juga sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah di seluruh dunia.

Namun katanya, ia tidak ditemui dalam air masin seperti di laut.

“Elakkan menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.

“Elakkan aktiviti seperti menyelam dan melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus.

“Cuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan jika demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher selepas melakukan aktiviti dalam air,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA) mengesahkan kes membabitkan seorang lelaki warga Korea Selatan berusia dalam lingkungan 50-an meninggal dunia pada 21 Disember lalu, selepas dijangkiti Naegleria Fowleri.

Mangsa dilaporkan menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember lalu.

Menurut Dr Noor Hisham, Ameba Naegleria Fowleri berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang.

“Kebiasaannya gejala itu muncul sekitar lima hari, namun boleh juga muncul seawal sehari dan selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

“Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh sehari hingga 18 hari daripada onset gejala,” katanya.

Beliau menjelaskan antara gejala peringkat awal adalah menyerupai meningitis yang disebabkan bakteria seperti sakit kepala, demam, loya atau muntah.

Katanya, gejala serius pula seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang sekeliling, sawan, halusinasi serta koma.

“Penyakit itu didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti.

“Manakala rawatannya adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan namun sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit berlaku sangat cepat,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here