Polis rampas syabu 320kg bernilai RM11.5 juta

0
2
foto kredit: HARIAN METRO

MODUS operandi sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah teres di Setiawangsa sebagai stor menyimpan dadah jenis syabu seberat 320 kilogram akhirnya terbongkar, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan kira-kira jam 5.40 petang itu berjaya menemui dadah yang bernilai RM11.5 juta.

“Menerusi serbuan itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun dipercayai penjaga stor terbabit.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala seorang suspek positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Yahaya berkata, rampasan itu adalah rampasan dadah terbesar di Kuala Lumpur bagi tahun ini dan polis kini giat mengesan saki baki ahli sindiket.

“Polis percaya sindiket mula aktif sejak September lalu dan bekalan dadah diperoleh dari Pantai Timur sebelum dikumpulkan di stor berkenaan.

“Kita juga sedang menyiasat modus operandi sindiket ini, ke mana dadah ini dijual dan apa peranan sebenar dua lelaki terbabit,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai menjual dadah mengikut bungkusan yang ditetapkan pada harga RM35,000 bagi sekilogram dadah.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM20,800.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here