Ben Ibrahim
DUA bekas kakitangan pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Mereka didakwa dengan 29 pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh dua tahun lalu.
Tertuduh pertama, Mohd Isa Mohd Yusof, 36, berdepan 26 pertuduhan manakala tertuduh kedua, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, didakwa dengan tiga pertuduhan.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan selesai dibaca di hadapan Hakim Maimoonah Aid.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Isa didakwa dengan 26 pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan nombor pengenalan miliknya untuk memasukkan 26 nama individu ke laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Februari 2020 hingga 12 Oktober 2021 di pejabat SUK Pahang.
Tertuduh kedua, Muhammad Amer Syafeeq pula berdepan tiga pertuduhan memasukkan tiga nama individu ke laman sesawang sama dan menyebabkan pengubahsuaian kandungan dalam sistem komputer itu.
Dia didakwa melakukan itu antara 18 Ogos 2021 hingga 4 Oktober 2021 di pejabat SUK negeri Pahang.
Pendakwaan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 itu dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim.
Sabit kesalahan kedua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka juga boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan kecederaan seperti ditakrif dalam Kanun Keseksaan.
Tertuduh pertama tidak diwakili peguam manakala tertuduh kedua pula diwakili peguam, Noor Azmi Kasam.
Mahkamah membenarkan kedua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Malaysiapost

