Ben Ibrahim
SEBANYAK 500 kilogram (kg) ikan selesai diagihkan dalam masa kira-kira dua jam kepada penduduk sekitar daerah Kuantan petang semalam.
Pengagihan ikan percuma itu hasil inisiatif Hijrah Water Sdn Bhd (Hijrah Water) dan DC Inspiring yang diadakan di perkarangan kawasan letak kereta syarikat berkenaan di Jalan Kuantan-Gambang.
Pengerusi Hijrah Water, Mohamad M Said berkata idea untuk memberi ikan percuma hasil perbincangan dengan pekerjanya sebelum ini.

“Kalau di lokasi lain, ada juga kita agihkan beras dan barangan keperluan asas, tapi untuk penduduk di Kuantan, kami pilih untuk agihkan ikan.
“Untuk program kali ini, kita sediakan 500 kg ikan untuk diagihkan dan setiap wakil keluarga dapat satu kg,” katanya.
Hijrah Water adalah syarikat Bumiputera yang menawarkan produk penapis air yang mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dalam pada itu, Pengarah Urusan DC Inspiring, Awaludin Abdullah berkata, kerjasama antara syarikatnya dan Hijrah Water untuk menjayakan program itu adalah bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan melakukan kerja CSR.
“Saya harap ini adalah permulaan dan selepas ini lebih ramai (usahawan) akan menganjurkan program seumpama ini untuk membantu rakyat yang terkesan akibat keadaan ekonomi ketika ini.
“Pihak kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan program CSR pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

