SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan dua tahun yang diasuh bersama isterinya di Cybersouth Dengkil, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan polis di sebuah rumah di Casa View, Cybersouth, pada pukul 5 petang tadi.
Beliau berkata, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes di siasat mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.
“Polis menahan suami kepada pengasuh yang juga bekerja sebagai pembantunya,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, doktor mengesahkan terdapat kesan calar sepanjang 0.5 sentimeter (cm) pada kemaluan mangsa, namun tiada koyakan.
Wan Kamarul Azran berkata, bagaimanapun doktor juga tidak dapat mengesahkan punca kecederaan kecil pada kemaluan mangsa.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat seorang doktor Hospital Putrajaya berhubung kejadian itu.
“Siasatan mendapati, mangsa mengadu sakit pada kemaluan selepas diambil dari pengasuh di taska berkenaan pada pukul 6.30 petang Isnin lalu.
“Kami sudah mengambil keterangan ibu mangsa dan mengesahkan telah menghantar kanak-kanak itu di rumah pengasuhnya dan kanak-kanak itu mendedahkan dia dicabul suami pengasuh,” katanya.
Sebelum ini, tular satu video di laman sosial memaparkan perbualan seorang kanak-kanak perempuan dua tahun kepada ibunya yang memaklumkan dia dicabul seorang lelaki ketika berada di taska.
Isu itu kemudian didedahkan usahawan dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad yang turut mengesahkan insiden itu membabitkan anak seorang ejen produknya. – Malaysiapost

