PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis terus turun ke lokasi tanah runtuh di Batang Kali, meskipun baru sahaja dibenarkan keluar hospital hari ini.
Tanpa menghiraukan hujan, beliau yang dimasukkan ke Hospital Selayang (HS) sejak Isnin lalu kerana keletihan dan serangan angin ahmar ringan, bersemangat bertemu pasukan penyelamat dan media di lokasi.
Menurutnya, beliau dibenarkan pulang dari hospital tetapi masih mahu ke lokasi tanah runtuh bagi bertemu dengan anak buahnya untuk memberi kata semangat.
“Saya diserang angin ahmar ringan Isnin lepas dan kini berada dalam keadaan baik. Cuma doktor kata saya perlukan rawatan susulan selepas ini.
“Saya ingin berjumpa dengan anak-anak buah saya yang terlibat dalam operasi SAR untuk berikan semangat kepada mereka,” katanya.
Norazam turut berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan beliau, selain anggota bomba yang sedang bertugas di Batang Kali.
Sementara itu, JBPM Selangor dalam kenyataan media memaklumkan Norazam akan bertugas dengan melakukan tugas ringan dari rumahnya.
“Beliau akan memantau gerak kerja operasi SAR menerusi talian telefon dengan mereka yang berada di tapak operasi tanah runtuh,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihaknya yakin pasukan keselamatan mampu mengesan baki mangsa yang belum ditemui. – Malaysiapost

