Wajar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dipinda

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meraskan adalah wajar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dipinda bagi menghentikan budaya ‘kecoh’ berterusan dan sidang dapat berjalan dengan sopan.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara, meluahkan rasa malu apabila menyaksikan kekecohan dalam persidangan Parlimen semalam.

“Sekarang saya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Apabila menyaksikan persidangan parlimen yang baru tamat semalam menjadikan saya rasa malu.

“Bukan sahaja malu kepada rakyat tetapi malu kepada dunia luar. Dulu saya dalam Dewan, sekarang saya di luar. Baru saya nampak buruknya gelagat ahli parlimen terjerit jerit sampai keluar perkataan beruk dan kera.

“Saya perlu mengaku, kini saya insaf kerana pernah terlibat dengan sidang yang kecoh seperti itu. Saya Ahli Parlimen dari 2008-2013,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

ADUN Rengit itu mempersoalkan sampai bila budaya ‘kecoh’ itu perlu berterusan yang mengakibatkan rakyat yang tekun mendengar Ahli Parlimen berhujah turut terganggu bila yang berhujah diganggu oleh Ahli Parlimen tidak berdisiplin.

“Ada yang mencadangkan supaya parlimen menggunakan budaya Mahkamah bila berhujah. Pendakwa dan peguambela berdebat secara bersopan. Mereka hormat arahan hakim.

“Bolehkah itu dibuat? Masalahnya ramai Ahli Parlimen adalah peguam dan ada bekas hakim. Tetapi bila masuk Parlimen, mereka lagi kuat menjerit dan tidak patuh arahan Speaker.

“Justeru perlukah standing order Parlimen dipinda supaya lebih ketat? Kalau Akta Anti Lompat Parti boleh dibuat maka amat wajar juga Peraturan Tetap Dewan dipinda,” katanya.

Beliau berkata, antara yang wajar dipinda adalah tidak lagi dibenarkan pencelahan semasa ahli Dewan sedang bercakap.

“Mungkin boleh dicontohi Standing Order Perkara 45 (2) Dewan Negeri Johor di mana pencelahan tidak dibenarkan melainkan jika menyalahi peraturan mesyuarat.

“Ini membolehkan setiap ahli Dewan dapat berhujah, mengkritik, menegur dan memberi pandangan dengan lancar tanpa gangguan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here