8 stesen minyak ditutup akibat banjir

0
2

LAPAN stesen minyak di Terengganu terpaksa ditutup berikutan ditenggelami air sejak dilanda banjir Jumaat lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, penutupan sementara stesen minyak itu terpaksa dibuat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa stesen minyak lain ditutup berikutan ditenggelami air sekiranya keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk.

Jelasnya, stesen minyak yang ditutup itu melibatkan tiga di daerah Kemaman, dua di Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Besut, Setiu serta Dungun.

“Stesen minyak itu ditutup untuk mengelakkan risiko minyak bercampur dengan air dan bimbang terhadap keselamatan sekiranya terdapat arus elektrik yang boleh menjejaskan operasi stesen minyak tersebut.

“Oleh itu, stesen minyak berkenaan akan kembali beroperasi selepas banjir surut sepenuhnya seperti biasa,” katanya dipetik Utusan, hari ini.

Sementara itu, Saharuddin berkata, perkhidmatan kenderaan stesen bergerak (ROVR) juga akan digerakkan ke lokasi yang terjejas setelah beberapa penilaian dibuat.

Katanya, perkara itu akan diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar agensi penyelamat dan penduduk tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan bakar kenderaan di lokasi bencana. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here