RAKYAT Terengganu sangat kecewa berhubung ketiadaan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika negeri itu dilanda banjir besar kerana dipercayai sedang bercuti di luar negara.
Setiausaha Kelab Sahabat Ma’ruuf Terengganu (KSMT), Imran Azmi berkata, semua pemimpin sepatutnya kekal berada di dalam negeri sepanjang musim tengkujuh kerana sudah menjadi kelaziman, banjir akan berlaku pada waktu tersebut.
“Ketiadaan mana-mana pemimpin apatah lagi seorang Menteri Besar ketika rakyat sedang berada dalam keadaan huru hara akibat banjir terburuk tidak sepatutnya berlaku.
“Walau apa juga alasan beliau tidak turun ke lokasi untuk bertemu empat mata dengan mangsa banjir, penjelasan perlu dilihat supaya tidak menimbulkan fitnah atau prasangka di kalangan rakyat negeri sendiri,” katanya dipetik Utusan Online, hari ini.
Ahmad Samsuri kali terakhir dilihat berada di Terengganu ketika mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-20 pada 11 Disember lalu.
Bagi Setiausaha Kerja Pertubuhan Permata Kasih, Syamsul Anuar Mahmud pula berkata, percutian pada musim tengkujuh bukanlah pilihan terbaik mana-mana pemimpin politik kerana keutamaan perlu diberi kepada rakyat yang ditimpa kesusahan ketika banjir berlaku.
“Percutian bersama keluarga misalnya boleh sahaja dibuat pada musim cuti persekolahan selain dari musim Monsun Timur Laut yang diketahui akan menyebabkan banjir buruk di negara ini dan Pantai Timur khususnya.
“Jika hendak bercuti pun, dalam Malaysia masih dikira munasabah agar mudah pulang ke kawasan sekiranya berlaku bencana banjir seteruk ini, hingga mangsa mencecah 40,000 orang sudah pasti rakyat akan mula mempersoalkan kredibiliti seorang pemimpin yang sepatutnya berada bersama mereka namun ‘hilang’ entah ke mana.
“Sekurang-kurangnya nyatakan keberadaan semasa atau apakah halangan yang menyebabkan beliau tidak dapat turun padang ke lokasi, rakyat pasti akan memahami jika perkara tersebut benar berlaku,” katanya.
Sementara itu memetik Malaysiakini, Exco Kerajaan Terengganu, Hanafiah Mat mengesahkan Ahmad Samsuri kini berada di New Zealand.
Beliau berkata, Kerajaan Terengganu berpendapat tidak timbul apa-apa isu berhubung cara pengurusan banjir di negeri itu dijalankan walaupun Menteri Besar tiada di dalam negeri ketika ini.
“Sebagai timbalan pengerusi pengurusan bencana negeri, saya sangat berpuas hati di semua lapangan dan pusat penempatan sementara.
“Semua exco dan juga wakil rakyat juga memainkan peranan dengan sangat baik,” katanya.
Semalam, Malaysiapost mendedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu sedang bercuti di Auckland, New Zealand bersama isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. – Malaysiapost

