JAKIM adakan program munajat susulan musibah banjir

0
2
ketua pengarah Jakim Hakimah

SEMUA Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara dijemput dan disyorkan untuk turut sama mengadakan program munajat susulan musibah banjir yang melanda negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pihak JAKIM akan mengadakan bacaan Yasin, solat hajat dan doa selamat.

Menurutnya, program munajat itu akan diadakan di tiga masjid utama seliaan JAKIM susulan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada hari ini menyarankan umat Islam untuk terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir.

“JAKIM akan mengadakan bacaan Yasin, solat hajat dan doa selamat di tiga buah masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, program itu akan diadakan serentak pada 22 Disember 2022 (Khamis) selepas solat Maghrib.

“JAKIM turut menjemput dan mengesyorkan semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara untuk turut sama mengadakan program seumpamanya.

“Agar kesatuan usaha dan doa seluruh umat akan menambahkan lagi keberkatan doa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here