Tiba masanya gaji minimum penjawat awam ditetapkan RM1,8000 sebulan – CUEPACS

0
2
SHAH ALAM 18 DISEMBER 2019. Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat ditemui media pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Kali Ke 28 di Shah Alam Convention Centre. STR/FAIZ ANUAR

SUDAH tiba masanya kerajaan menetapkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan berbanding RM1,200 ketika ini, kata Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Menurut Adnan, perkara itu antara isu utama yang dibangkitkan perwakilan konvensyen tritahunan CUEPACS pada 17 hingga 19 Disember lalu.

Sehubungan itu katanya, CUEPACS telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu-isu membabitkan penjawat awam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Banyak resolusi berkaitan kebajikan dan penambahbaikan skim perkhidmatan penjawat awam telah dicapai sepanjang konvensyen diadakan.

“Isu utama dibangkitkan oleh perwakilan adalah mengenai sistem saraan perkhidmatan awam yang sudah ketinggalan dan tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, pihaknya berharap pertemuan dengan Perdana Menteri kelak dapat memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai tuntutan CUEPACS dan penjawat awam.

Dalam pada itu Adnan berkata, CUEPACS menyambut baik keputusan Perdana Menteri meneruskan pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah pada Januari 2023, serta tambahan khas RM100 dalam bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT).

Katanya, pengumuman Perdana Menteri melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat hari ini jelas membuktikan keprihatinan serta penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan penjawat awam.

“CUEPACS sendiri telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri pada 6 Disember lalu untuk pertimbangan kerajaan meneruskan segala inisiatif yang diumumkan kerajaan terdahulu kepada penjawat awam.

“CUEPACS melihat tiada sebarang sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif berbentuk kebajikan ini kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti dicurahkan kepada rakyat dan negara.

“Bahkan CUEPACS berpendapat masih banyak lagi inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam konteks hal-hal kebajikan dan penambahbaik skim perkhidmatan penjawat awam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here