KETUA Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan jawatannya, berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Menurutnya, peletakan jawatan itu berpunca hilang keyakinan dengan kepemimpinan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir susulan peletakan jawatan bekas Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, diterima parti itu, 15 Disember lalu.
“Mukhriz tidak mempunyai kualiti kepemimpinan seperti bapanya yang juga Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad serta tidak mampu untuk memimpin parti,” katanya memetik BH.
Justeru, Khairuddin menjelaskan turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) berkuat kuasa serta-merta, dan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.
Tegasnya, perjuangan beliau dulu, kini dan selamanya adalah demi wadah perjuangan mulia Dr Mahathir.
“Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Dr Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.
“Presiden Pejuang sudah tersasar jauh dari landasan perjuangan mulia Dr Mahathir dan selama ini Mukhriz bersama dengan konco-konconya bermuka-muka dengan Dr Mahathir saja,” katanya.
Khairuddin turut mendedahkan, dalam mesyuarat semua pemimpin bersetuju dengan Dr Mahathir, tetapi di belakang mereka mengambil pendirian yang berbeza.
“Dalam mesyuarat MEP mereka mengangguk sokongan, tetapi di belakang Pengerusi mereka mengambil pendirian yang bercanggah dengan pendirian mesyuarat MEP.
“Mereka ini adalah kalangan pengkhianat dalam Pejuang,” katanya. – Malaysiapost

