PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mencadangkan wang berjumlah RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi 2023 untuk perbelanjaan segera.
Cadangan pengeluaran itu adalah berdasarkan Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 (Akta 406) dan sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan.
Perdana Menteri juga dijadual mencadangkan supaya Kerajaan memindahkan sebanyak RM35,045 juta ke Kumpulan Wang Pembangunan mengikut Seksyen 3(1) Akta Perbadanan Kerajaan 1983 (Akta 275).
Wang berkenaan membabitkan baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) bagi tahun 2022.
Selain itu Anwar juga akan mencadangkan Kerajaan memindahkan sebanyak RM16,200 juta, mengikut Seksyen 3(1) Akta 275 dan Seksyen 4(2) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020 (Akta 830).
Wang berkenaan membabitkan baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan (MGII) bagi tahun 2022 ke Kumpulan Wang Covid-19.
Pada 24 November lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan akan membentang rang undang-undang (RUU) Bajet Mini, bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.
Menurutnya, kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.
Kerajaan juga dijangka membentangkan belanjawan susulan yang menyeluruh, kira-kira sebulan selepas sidang Parlimen minggu ini. – Malaysiapost

