HASIL simulasi model ramalan banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di dua kawasan di Johor.
Susulan itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), JPS mengeluarkan Amaran Banjir di negeri berkenaan pada jam 2 petang tadi.
Amaran itu juga dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada jam 1.20 tengah hari tadi.
“JPS Malaysia meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di lokasi dan waktu berikut sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di negeri Johor.
“Tarikh dan waktu dijangka banjir pada 21 Disember 2022 mulai jam 4 pagi adalah membabitkan daerah Mersing di Sungai Melikai dan kawasan sekitarnya.
“Pada 22 Disember 2022 mulai jam 4 petang membabitkan daerah Kota Tinggi di Kampung Semanggar dan kawasan sekitarnya,” menurut amaran yang dikeluarkan JPS itu.
Menurut JPS, banjir yang diramalkan boleh berlaku awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” katanya. – Malaysiapost

