DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri menerusi usul undi percaya yang diluluskan Dewan Rakyat, petang tadi.
Anwar berkata, keadaan itu sekali gus membuktikan beliau mempunyai keabsahan sebagai Perdana Menteri menerusi dokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Kerajaan hari ini telah membawa satu Usul Percaya kepada Perdana Menteri dan berjaya membuktikan keabsahan dukungan majoriti di Dewan Rakyat.
“Terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang jelas dan tegas. Kini masa untuk bekerja dan menjelmakan perubahan yang didambakan rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul undi percaya kepada keabsahan Anwar melalui undi suara majoriti hari ini.
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, selepas usul itu selesai digulung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong Ahmad Zahid, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang. – Malaysiapost

