KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menegaskan usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) bukan menjadi agenda utama kementerian itu, ketika ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebaliknya pihak KPM akan memberi tumpuan utama kepada usaha dan menangani cabaran ekonomi dan kos sara hidup dihadapi rakyat.
Beliau berkata, apa-apa isu terkait rapat termasuk yang dibangkitkan sekarang seperti UEC akan diilhat dari semasa ke semasa.
“Apa-apa berkait dengan manifesto juga kita akan lihat semula kerana kita sekarang berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita tidak lagi bercakap mengenai Manifesto Pakatan Harapan semata-mata,” katanya pada sidang media khas Kementerian Pendidikan di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan PH, dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf.
Dong Zong mendesak semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, yang dikeluarkan kementerian.
Dong Zong turut memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik. -Malaysiapost

