500 anggota Rela bakal ditugaskan kawal sempadan negara

0
1

SERAMAI 500 anggota dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bakal dihantar bertugas untuk mengawal sempadan negara tahun depan, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, projek perintis penugasan kawalan itu akan melibatkan kawasan sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Buat permulaan, ia hanya melibatkan kira-kira 500 petugas dengan kawalan di Perlis, Kelantan, Selangor, Sabah dan Sarawak,” jelasnya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin melakukan lawatan julung kali ke Ibu Pejabat Rela dengan diiringi Ketua Pengarahnya, Datuk Yahya Sulaiman.

Projek pengawalan sempadan itu mula dilaksanakan secara perintis melibatkan hanya 95 anggota dan pegawai sejak November 2020 hasil cetusan idea kepimpinan sebelum ini.

Kesemua petugas tersebut yang akan dihantar kelak mestilah berusia bawah 30 tahun dengan mereka bakal membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia.

Kumpulan ini menjalani kursus di Akademi Latihan Rela di Sungai Udang Melaka selain pusat latihannya di Sungai Petani, Kedah; Kuala Berang, Terengganu dan Tenom, Sabah.

Mengulas mengenainya, Saifuddin berkata, untuk penugasan sempadan, mereka ada keupayaan tambahan termasuk dilatih dalam penggunaan senjata api bagi perlindungan kecemasan.

“Tugasan mereka di sempadan sebenarnya jauh lebih kompleks, namun, itulah tekad Rela sejajar sejarah dan fungsi kesukarelawanan serta peranan bantu agensi lain,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, belum ada lagi keperluan menaikan elaun Rela kerana baru sahaja dinaikkan pada 2020 lalu selepas tujuh tahun tidak berubah. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here