Terima kasih FAM

0
1

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan penurunan harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Dua perlawanan berkenaan adalah membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Laos pada 24 Disember ini dan berdepan Singapura pada 3 Januari 2023 yang kedua-duanya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Terima kasih FAM atas usaha mengurangkan harga tiket namun saya mohon pertimbangkan pengurangan harga tier ‘terbuka’ supaya boleh meningkatkan kehadiran peminat sukan dan mempromosikan budaya sukan sekeluarga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu FAM dalam satu kenyataan semalam mengumumkan penurunan harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Laos dan Singapura.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman, berkata penurunan harga tiket itu adalah atas rasa prihatin dan selepas mengambil kira keluhan penyokong Harimau Malaya serta mendengar pandangan daripada banyak pihak.

Menurutnya, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengarahkan Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Posa Majais untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Selepas membuat pertimbangan sewajarnya, Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM telah membuat keputusan untuk harga tiket tempat duduk Terbuka diturunkan ke RM45, Premium diturunkan ke RM60 dan Grandstand diturunkan ke RM70.

“Bagaimanapun, harga tiket kanak-kanak kekal pada harga RM10. Bagi penyokong yang telah membeli tiket pada harga asal, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline,” katanya.

Beliau berharap penurunan harga tiket itu akan dapat mengurangkan sedikit beban para penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan.

“Datuk Hamidin sentiasa prihatin mendengar apa juga keperluan penyokong dan menghargai sokongan tidak berbelah bagi anda semua, penyokong setia Harimau Malaya yang sentiasa berada di belakang pasukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here