Sindiket seludup PATI tumpas, 2 pegawai Imigresen diberkas

0
1

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang turut membabitkan kakitangan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata kejayaan itu hasil operasi yang dijalankan pada jam 7.05 malam 9 Disember 2022, lalu.

Menurutnya, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya berdasarkan maklumat perisikan dan awam bahwa terdapat PATI yang disenarai hitam akan diurus kemasukan ke Malaysia.

“Dalam operasi tersebut, seramai lima orang individu berusia antara 31 tahun hingga 49 tahun telah berjaya ditahan.

“Tangkapan terdiri daripada dua perempuan warga Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, turut ditahan dua pegawai imigresen yang dipercayai bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan PATI berkenaan.

“Modus operandi sindiket adalah ejen akan mengatur kemasukan PATI yang disenarai hitam atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai imigresen yang bersubahat di kaunter ketibaan untuk menurunkan cap masuk kepada PATI tersebut dengan upah antara RM1000 hingga RM2000 bagi setiap PATI.

“PATI kemudian akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang dituju untuk tujuan bekerja secara tidak sah. Kemasukan PATI itu juga tidak direkodkan didalam sistem imigresen oleh pegawai tersebut,” katanya.

Menurutnya, kesemua PATI berkenaan ditahan kerana telah melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat mengikut akta sama.

“Manakala seorang ejen dan dua pegawai imigresen yang terlibat pula ditahan dan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. Manakala dua orang pegawai imigresen yang terlibat ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan,” katanya.

Khairul Dzaimee menegaskan, JIM akan terus komited dalam membanteras sindiket penyeludupan migran dan tidak akan sama sekali berkrompromi dengan kesalahan yang melibatkan kakitangan JIM sendiri.

“Mana-mana orang yang didapati melanggar kesalahan imigresen akan diambil tindakan yang tegas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here