KERAJAAN akan mengumumkan perincian penuh tarif elektrik dalam tempoh terdekat ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya akan mengumumkan mengenai perkara itu dalam satu kenyataan media.
“Itu (perincian tarif elektrik) akan umum dalam siaran media dalam tempoh terdekat,” katanya selepas melancarkan Stesen Pengecas EV Bangi Resort di Hotel Bangi Golf Resort, di Bangi, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya hari ini memaklumkan, kerajaan tidak berhasrat menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan industri kecil sederhana (IKS).
Anwar berkata, cadangan awal untuk kenaikan tarif elektrik itu tidak akan diteruskan kerana tidak mahu membebankan rakyat.
Bagaimanapun, Anwar menyatakan kerajaan akan membuat semakan terhadap tarif elektrik membabitkan syarikat multinasional yang mengeksport ke luar negara. -Malaysiapost

