DATUK Seri Najib Razak mengingatkan ahli Umno di seluruh negara agar kekal istiqamah bersama parti itu sekali gus meletakkan kepercayaan yang Umno akan bangkit semula selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Peringatan bekas Presiden Umno itu dikongsikan oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam hantaran di Facebook yang berkata, Najib mengikuti rapat perkembangan politik negara khususnya Umno dari tirai besi.
“Alhamdulillah dapat berbual lama dengan Bossku di Mahkamah. Kebetulan kami berdua datang awal. Perbicaraan pula hanya bermula jam 10.15 pagi.
“Saya mulakan dengan bertanya khabar, “are you ok?” Bossku amat ceria dan bersemangat walaupun nampak susut sedikit. Dia tidak dibenarkan menggunakan handphone.
“Bossku mengikuti perkembangan di luar melalui surat khabar. Dia dapat surat khabar sehari lewat. Bermakna dia dapat cerita yang sudah basi dua hari.
“Kami berdua berbincang isu ekonomi dan isu semasa termasuk barisan kabinet Kerajaan Perpaduan. Dia berpesan, ingatkan ahli Umno agar istiqomah, jangan risau dan bangkit semula,” kata Mohd Puad di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Puad sekali lagi menegaskan kewajaran perbicaraan Najib disiarkan secara langsung agar orang ramai dapat menilai proses perundangan yang diterima beliau.
“Melihat wajah Bossku yang segar, saya yakin Bossku akan kembali dan meneruskan perjuangan murni ini.
“Melihat gelagat saksi hari ini, amat wajar semakan kehakiman tahun hadapan di buat secara “online streaming”,” katanya. – Malaysiapost

