Monsun Timur Laut: 5,235 kawasan berisiko banjir

0
1

SEBANYAK 5,235 kawasan yang berisiko tinggi menghadapi impak Monsun Timur Laut telah dikenal pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) , Nga Kor Ming berkata, jumlah tersebut turut meliputi sebanyak 4,795 kawasan yang rentan terdedah kepada masalah banjir besar.

“Bilangan ini dikenal pasti hasil pemantauan dilakukan setiap hari oleh JBPM seluruh negara setakat ini sebagai tindakan persiapan awal,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan julung kali ke Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, hari ini.

Menurut JBPM, sebanyak 4,795 kawasan diunjurkan mengalami banjir, manakala 254 kawasan berisiko cerun kritikal dan baki 186 kawasan rentan kepala air.

Negeri yang paling teruk untuk bencana akibat monsun itu ialah Sarawak, dijangka merekodkan 1,034 kawasan mudah terkena banjir diikuti Kelantan dengan 595 kawasan.

Paling sedikit ialah Labuan yang hanya 18 kawasan, manakala Putrajaya diunjurkan sifar kawasan dengan tinjauan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran.

Mengulas mengenainya, Kor Ming berkata, JBPM berkolaborasi dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Jabatan Meteorologi bagi maklumat dikemas kini.

“JBPM malah bersiap siaga mengerahkan kekuatan 12,857 pegawai sepenuh masa dan 2,111 pegawai bomba bantuan demi memastikan keselamatan rakyat terjamin,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming berkata, arahan pembekuan cuti secara total sudah dikeluarkan dengan bulan ini hanya 20 peratus keseluruhan petugas dibenarkan sehingga situasi kembali terkawal.

Kor Ming turut menjelaskan, JBPM juga bertindak selaku komander operasi banjir di bawah Pusat Kawalan Bencana Negara selaras arahan 2.0 Majlis Keselamatan Negara.

Menurutnya, kesiapsiagaan turut meliputi sebanyak 584 unit kenderaan angkut ringan, 140 unit kenderaan angkut berat dan 487 unit kenderaan marin yang keseluruhan berjumlah 1,211 unit.

JBPM itu turut memiliki Pasukan Gerak Khas Red Team dilancarkan pada 28 Oktober lalu selain tiga Pangkalan Hadapan Wilayah yang berada di Utara, Timur dan Selatan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here