KENDERAAN elektrik (EV) berharga bawah RM100,000 bakal dibawa masuk ke dalam negara sebagai galakan untuk golongan pertengahan menggunakannya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan bercadang melakukannya selain langkah itu dapat membantu mencapai hasrat menjadikan negara rendah karbon pada masa depan.
Beliau berkata, kebanyakan harga EV kini melebihi RM100,000 dan di luar kemampuan kebanyakan rakyat negara ini.
“Kebanyakan EV yang masuk dalam pasaran kita ini lebih daripada RM100,000 jadi kita mahu lihat kepada pasaran yang lebih rendah dan berikutan itu kita akan lihat bagaimana kerajaan dapat main peranan, antaranya untuk jalinkan kerjasama dengan syarikat automotif berkaitan.
“Kita lihat bagaimana kalau boleh membawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik (sama ada) kenderaan itu dipasang di negara ini yang mungkin membantu kita untuk tawarkan EV (dengan harga) yang lebih rendah,” katanya selepas melancarkan Stesen Pengecas EV Bangi Resort di Hotel Bangi Golf Resort, Bangi, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Nik Nazmi berkata, sebelum ini sudah banyak insentif diberikan kerajaan dalam menjadikan negara ini bebas karbon.
“Sebelum ini pun kerajaan sudah beri insentif untuk pemilikan EV dan sebagainya, namun untuk masa akan datang kita akan lihat kembali sama ada Belanjawan 2023 ini akan disemak semula atau Belanjawan 2024 sama ada kerajaan dapat menambah lagi insentif untuk kenderaan berkenaan.
“Kerajaan sebelum ini menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan EV, pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan,” katanya. -Malaysiapost

